|
Oleh Haris Razali
Alor Star, 5 Feb – Cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan UMNO dan Pas duduk semeja untuk membincangkan isu-isu berkaitan agama Islam adalah satu isyarat bahawa pemimpin Pas kini telah hilang kepercayaan dengan pakatan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Demikian menurut Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin selepas menghadiri pelancaran pendaftaran ahli baru UMNO yang bertemakan "UMNO Pilihanku” di sini, Jumaat.
Jelas beliau setelah sekian lamanya Nik Aziz tidak mahu langsung berbincang dengan UMNO, kini beliau sendiri telah membuat pelawaan.
"UMNO berharap ia adalah pelawaan yang benar.
"Kita sememangnya bersedia untuk berbincang dengan Pas mengenai perpaduan dan kita mahu perbincangan diperluaskan kepada semua kaum, bukan dengan Melayu dan soal Islam sahaja," katanya.
Malah tegasnya lagi Pemuda UMNO pernah mengambil langkah untuk berbincang dengan Pas mengenai isu perpaduan ummah semasa idea itu dilontarkan oleh presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Bercakap kepada pemberita selepas menutup Seminar Pemikiran Islam Semasa - Pemakaian Kalimah Allah di sini, Nik Abdul Aziz mencadangkan Pas dan UMNO duduk semeja berbincang dan menamatkan perseteruan lebih 50 tahun antara kedua-dua parti dokongan orang Melayu itu.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau rasa amat gembira jika soal perbincangan yang menjadi isu bermusim itu menjadi kenyataan.
"Ia kerana selama ini banyak masa, wang dan tumpuan dihabiskan kerana pertengkaran yang tidak membawa apa-apa faedah," katanya.
|