|
Oleh S.A Najmuddin
Putrajaya 7 Feb – Pemuda UMNO
akan memastikan mana-mana ahli serta bekas ahli yang menyertai parti
pembangkang dikeluarkan daripada senarai keahlian Pemuda UMNO dalam proses
pemutihan yang sedang dilaksanakan sekarang.
Menurut Exconya, Datuk Ahmad Zaki Zahid, langkah
berkenaan adalah selaras dengan kehendak serta arahan pucuk pimpinan yang
mahukan perkara itu dilaksanakan secepat mungkin bagi memastikan sasaran
parti untuk menambah keahlian dapat dijalankan dengan lancar.
“Langkah itu perlu dilaku bagi memastikan nasihat Setiausaha Agung
parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor untuk menjalankan proses pemutihan ahli dulu berjalan dengan baik.
''Jadi siapa yang sudah masuk pembangkang, ini akan dibersih
terlebih dahulu. Kita tidak mahu usaha kita untuk menambah keahlian terencat
dengan perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Program
Motivasi Pelajar 2010 di Sekolah Menengah Putrajaya Presint 16 (1) di sini hari
ini.
Program motivasi melibatkan seramai 300 pelajar dari sekolah
menengah sekitar Putrajaya itu dianjurkan oleh Kelab UMNO Luar Negara
(Auckland) dan Biro Teknologi Maklumat (IT) dan Latihan UMNO Bahagian Putrajaya.
Sabtu lalu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal
berkata, UMNO menyasarkan keahlian kira-kira empat juta orang menjelang pilihan
raya umum akan datang.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya seterusnya
menambah pergerakan itu akan
lebih agresif menambah keahlian baru supaya sasaran pergerakan itu untuk
melepasi jumlah ahli baru pada tahun lalu iaitu melebihi 25,000 menjadi
kenyataan.
|